Sunday 15 January 2012

Kembali Kepada Asal

Berhenti seketika.

Adakalanya perjalanan kita sudah terlalu jauh. Terlalu jauh sehingga kita hilang punca dari mana kita datang, dan ke mana arah tuju kita. Dek kerana terlebih fokus kepada keadaan semasa, kita terperangkap di tengah-tengah permusafiran.

Apabila ada sesuatu nikmat yang dikurniakan, kita kabur mengapa kita yang mendapat anugerah itu, dari mana datangnya dan ke mana harus kita gunakan. Kita juga lupa untuk melihat, adakah orang lain juga mendapat nikmat yang sama.

Sama juga, apabila diberikan satu ujian, oleh sebab terlalu terganggu dengan ujian itu, kita menjadi hilang arah, hilang terus keyakinan dengan qada dan qadar, lenyap terus nilai tawakkal kita, dan tidak tahu apakah yang harus kita lakukan sebaiknya untuk menghadapi ujian itu.

Terperangkap dan tidak mampu melangkah. Melihat orang-orang sekeliling. Ada yang sedang berlari pantas, berjalan bersahaja, ada juga yang sudah terguling berputus asa. 

Dan, kita berhenti. Berfikir kembali. Di mana kita sekarang? Adakah masih di dalam landasan yang dirangka pada permulaan perjalanan dahulu... atau sudah termasuk landasan yang lain akibat ditiup taufan nikmat yang melalaikan? Atau adakah kita sudah tergelincir terus dari landasan itu akibat dihempas badai ujian yang memenatkan?

Kembalilah kepada asal. Teliti dan semaklah balik. Dan bergeraklah kepada landasan yang betul. Supaya destinasi yang ditetapkan dulu berjaya kita tujui. Destinasi yang ditetapkan ketika semangat masih kental dan hati masih suci, beserta keyakinan istikharah, dan redha mereka yang tersayang.

InsyaAllah. Aku akan terus yakin dengan janji-janjiMu.



1 comments:

Anonymous said...

subhanAllah, ana suka sangat post ini. Moga akhi terus dibimbing Allah ke arah tuju yang hakiki, iAllah.

Wslm.