(LAGU MENEMANI PEMBACAAN)
watak: Pak Chu dan Mak Chu
umur : 63 tahun.
Usia dah lanjut. Badan semakin lemah. Kedut-kedut menghiasi setiap genap kulit muka dan tangannya. Walaupun hanya beberapa bulan aku meninggalkan kampung halaman, Pak Chu banyak berubah. Keadaannya kelihatan uzur benar.Mungkin itu yang dinamakan tua. Rakan-rakannya ramai yang telah dijemput ajal, tak kurang yang terlantar sakit. Mak Chu, walaupun juga semakin dimamah usia, raut wajahnya tetap bahagia. Menemani suaminya, setia! Mak Chu seoranglah yang ada di sisi Pak Chu.
Itulah Pak Chu dan Mak Chu. Pasangan tua di hujung kampungku. Berteduhkan sebuah pondok kecil berbumbungkan zink. Banyak bocornya. Kehidupan yang serba kekurangan. Rumah kayu usang, tiang dimakan anai-anak, dan menunggu roboh sahaja. Sama seperti Pak Chu dan Mak Chu. Namun, selagi hayat dikandung badan, hidup mesti diteruskan, sehingga datang panggilan si pencabut nyawa
Hari demi hari. Pak Chu tidak lagi berlayar di laut. Perahunya tersadar di gigi pantai. Jalanya dihampar. Kekadang disewa kepada anak muda yang masih gagah untuk mencari sesuap rezeki.Tubuh yang makin lemah, khudrat yang kian terbatas, menghalang Pak Chu turun berjuang menempuh ombak mencari hidupan laut.
Mak Chu masih dengan aktiviti hariannya. Pagi-pagi lagi, setelah selesai menyidai kain, akan memberi makan kepada ayam itik kepunyaannya. Riang haiwan-haiwan itu mendapat sisa-sisa makanan yang tak habis. Dan lepas tu akan memetik ulam di batas belakang rumah. Pak Chu suka sekali makan kangkung dan mentimun serta budu.Dimasak bersama ikan goreng atau telur masin. Mak Chu akan duduk di pintu, menunggu Pak Chu pulang dari surau, menunaikan solat zuhur, sebelum menikmati makan tengahari bersama-sama.
Anak-anak Pak Chu dan Mak Chu sudah lama tidak pulang ke kampung. Kerja di kota besar katanya. Tak dapat cuti.Mak Chu suka menceritakan perihal anak-anaknya. Diulang-ulang. Sehingga aku boleh menghafal setiap nama anak-anaknya. Menurut Mak Chu, anak bongsunya telah selamat melahirkan anak ketiganya, Hariz namanya, menjadikan bilangan cucu Mak Chu masuk 11 orang. Namun , tiada satu pun yang Mak Chu sempat sentuh. Anak-anaknya tidak pulang seorang pun. Hanya gambar dikirimkan. Tapi Mak Chu tetap gembira.Pak Chu pula, seringkali diam membisu bila Mak Chu bercerita akan anak-anaknya. Aku heran.Namun, aku juga tidak ingin masuk campur. Hanya mengiyakan segala cerita-cerita Mak Chu.
Satu malam. Setelah pulang solat berjemaah Isya, ku luangkan masa bertandang ke rumah kecil Pak Chu. Entah kenapa. Tetiba terasa ingin melawat.Ingin menceritakan kehidupanku di bumi orang putih. Tapi, melihatkan wajah Pak Chu yang sugul, niatku terbatal. Mungkin masa tidak sesuai, bisik hatiku. Mak Chu kata Pak Chu tidak sihat.Batuk-batuk. Tapi enggan ke klinik desa. Katanya, ini sakit tua. Tiada ubat.
Berbual di tangga bersama Mak Chu, sambil menghirup udara malam, memberikan satu perasaan sayu. Terhidu asap, mungkin kayu-kayu yang masih berbara, yang Mak Chu bakar lewat petang tadi, untuk menghalau nyamuk-nyamuk.Malam ini sunyi benar. Bintang tiada di langit. Hitam gelap. Cuma bunyi serangga yang menyanyi sayup2 menghiburkan. Itulah desa.Tempat kelahiranku.
Tiba-tiba Pak Chu bersuara.
"Nanti, setinggi mana pun kau kerja, ayah dan mak kau jangan sesekali ditinggalkan. Aku tahu, satu hari nanti, kau akan jadi seorang doktor. Aku tahu doktor ni kaya, ada rumah dan kereta besar. Boleh beli macam-macam.Tapi, sekaya mana pun kau, kau takkan dapat beli ibu bapa kau tuh. Mereka amat berharga"
Aku terkesima. Mengapa Pak Chu berkata sedemikian rupa. Kemudian Pak Chu terus berkata-kata...Panjang bicaranya. Seperti khutbah jumaat. Aku hanya diam. Membiarkan dia bercakap sepuas-puasnya. Mungkin itu yang tersimpan di ruang fikirannya.
"Anak-anak aku ramai. 6 orang. Kau pun tahu kenal mereka kan? (aku angguk). Dari kecil aku bela mereka. Bukan senang aku nak sekolahkan semua. Setiap hari aku turun ke laut, menangkap ikan, semata-mata nak membayar yuran sekolah. Kemudian, bila nak masuk universiti, berapa banyak harta tergadai. Setiap ceruk kampung aku bertandang, menagih simpati, meminta seringgit dua, untuk mengumpul duit. Masa itu, aku sangat bangga, anak-anak aku semua masuk universiti. Di kota pula tu.
Akhirnya semua selesai menghabiskan pengajian. Aku pergi ke setiap majlis konvo mereka. Segulung kertas di tangan mereka. Katanya, itulah sijil ijazah. Mereka mahu kerja di bandar. Di negeri lain. Banyak peluang pekerjaan agaknya.
Tahun demi tahun. Sekarang, tinggal Aku dan Mak Chu sahaja di rumah ini. Rumah yang dulu riuh dengan gelak tawa anak-anakku.Anak-anakku hilang satu persatu. Semuanya tinggal di kota. Puas aku menunggu. Cucu pun, walaupun dah 11 orang, tak pernah sorang pun datang mencium tangn aku..Tangan datuk mereja juga. Kekadang, aku tertanya-tanya, di manakah salahku sehingga mereka tidak langsung pulang ke kampung..."
Kemudian Pak Chu diam seketika. Mungkin kerana Mak Chu mencuit paha Pak Chu... Aku melihat Mak Chu menyeka air mata dengan hujung lengan bajunya...Aku rasa tidak selesa dengan suasana ini. Namun, untuk aku mengangkat punggung pulang ke rumahku, mustahil. Ku teruskan mendengar, setelah Pak Chu menyambung. Kali ini suaranya sebak...
"Dalam usia begini, aku mahu anak-anak aku ada di sisi aku.Sepertimana aku berada di sisi mereka waktu mereka masih kecil. Bukan kiriman wang yang aku nantikan. Aku tak perlukan duit. Ayam, itik dan ulam di belakang rumah, cukup untuk isi perut aku dan Mak Chu. Aku nak mereka balik. Aku nak cucu-cucu aku balik.Biar kenal datuk dan nenek mereka. Jelek sangatkah kampung ini? Terasa mewah hidup di kota, sehingga jijik hendak jejakkan kaki ke tempat asal. Aku tau rumah aku ni kecil, usang, tiada kipas, panas, tiada television, tiada peti sejuk, serba kekurangan. Tapi,lupakah mereka, di rumah inilah mereka membesar. Tidak pernah aku menjangka, begini sekali penghujung hidup kami. Bermula dengan hanya aku dan Mak Chu, dan sekarang, tinggal aku dan Mak Chu sekali lagi... Aku tengok Pak Teh (jiran sekampung), anak-anaknya belajar tinggi-tinggi jugak, tapi kerap benar balik. Anak-anak aku...kahwin pun tak bagitau..."
Pak Chu berhenti. Batuk-batuk. Mungkin darahnya naik. Mak Chu yang muncul di muka pintu, mengajak Pak Chu untuk masuk tidur. Aku pun dah ingin beransur. Telah lewat malam benar. Aku berasa pilu dan sedih dengan cerita Pak Chu,namun apa yang harus aku buat. Aku mencepatkan langkahku untuk sampai ke rumahku.
Esoknya, selepas mengamimkan doa selepas solat zuhur berjemaah, imam di surau kampungku, memaklumkan bahawa Pak Chu baru sahaja meninggal dunia. Hanya sebelum masuk waktu zuhur tadi. Katanya Pak Chu sesak nafas ketika sedang mengcangkul batas ulam.Aku terduduk. Badan terasa longlai. Tak aku sangka. Baru semalam berbual dengan arwah Pak Chu. Sungguh benar janji Allah. Jika telah sampai ajal seseorang itu, takkan diawalkan atau ditangguhkan.
Aku berlari mengambil basikalku. Kayuh selaju mungkin ke rumah kecil itu. Setibanya di sana,kelihatan Mak Chu sedang menyiapkan jasad Pak Chu untuk dimandikan.Mak Chu nampak tenang dan bersahaja. Selepas itu, semasa jenazah dimandikan, aku menyapa Mak Chu... ' Mak Chu, sabar yer...' Lantas, tiba-tiba Mak Chu menangis teresak-esak. Baru aku faham, persoalanku membuatkan Mak Chu tak mampu membendung perasaan sedihnya, lantas dia memeluk aku.... 'Mak Chu tak sedih sebab Pak Chu dah meninggal, tapi Mak Chu tersinggung sebab anak-anak tak sempat menatap wajah ayah mereka sewaktu dia masih bernafas'...selepas itu, Mak Chu tak mampu berkata-kata...cuma esakkannya terdengar di bahuku. aku juga turut merasa sedih. Dengan pelahan-lahan, aku mengesat air mataku yang mula bergenang. Anak-anak sudah dihubungi dan mereka sedang dalam perjalanan pulang ke kampung.
Selepas isyak, dalam majlis tahlil, aku melihat ada kanak-kanak di satu penjuru rumah itu. Aku teka, itulah cucu-cucu Mak Chu. Alhamdulillah, balik juga akhirnya walaupun Pak Chu dah pergi. Sekurang-kurangnya,Mak Chu takkan bersendirian.Hatiku sebak. Moga-moga Pak Chu memaafkan ketelanjuran anak-anaknya. Menderhaka kepada ayah dan mak sendiri salah satu dosa besar. Neraka akibatnya. Na'uzubiillah
Aku berdoa...agar aku dan adik beradikku serta ayah dan ibuku, dikekalkan dalam kasih sayang walau di mana sahaja kami berada. Biarlah kisah Pak Chu bersemadi dalam lipatan memoriku, sebagai pengajaran.
Assalamualaikum



5 comments:
semoga kita tak lupa jasa ibu bapa..
InsyaAllah..
Innalillah.
Sayu sungguh cerita nie. Jeles kau dapat melaluinya. Kalau aku, belum tentu diri ini tahu macam mane nak handle situasi itu.Semoga cerita ini diambil iktibar.
Al-fatihah untuk arwah.
semoga roh allahyarham dicucuri rahmat...~ al fatihah
sedih weyy!! bergenang air mate... mcm dlm filem..
salam...
sayunya cite ni..
smga kita semua akn jd anak yg soleh dan solehah.. insyaAllah..
mak chu duk kt mn ee?
Salam...
Sedeh baca.....
Post a Comment